Wednesday, December 1, 2010

Memberi Maaf Itu Ubat

Bermaaf-maafan adalah antara sifat terpuji yang perlu dilakukan sepanjang masa. Firman Allah bermaksud : “Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal-menghalalkan) lebih dekat kepada taqwa”. (Surah al-Baqarah, ayat 237)


Menurut Imam Al-Ghazali, pengertian maaf itu ialah apabila anda mempunyai hak untuk membalas, lalu anda gugurkan hak itu, dan bebaskan orang yang patut menerima balasan itu, dari hukum qisas atau hukum denda.


Dalam sebuah hadis qudsi Allah berfirman yang bermaksud : “Nabi Musa telah bertanya kepada Allah, wahai Tuhanku!, manakah hamba-Mu yang lebih mulia menurut pandanganMu?”

Allah berfirman: “Ialah orang yang apabila berkuasa (menguasai musuhnya) dapat segera memaafkan.”


Daripada hadis itu, Allah menjelaskan bahawa hamba yang mulia di sisi Allah adalah mereka yang berhati mulia, bersikap lembut, mempunyai toleransi tinggi dan bertolak ansur terhadap musuh.

Namun bukan sesuatu yang mudah bagi seseorang itu untuk memohon maaf atas segala kesilapan yang telah dilakukan kerana setiap seorang dari kita mempunyai ego yang tersendiri. Malah ada sesetengah orang yang tidak ambil peduli jika kata-katanya menyinggung perasaan orang lain kerana beranggapan setiap kali hari raya mereka akan memohon maaf dari orang tersebut. Tetapi apakah yang akan terjadi jika ditakdirkan umur tidak panjang atau orang yang tersinggung itu hilang entah ke mana. Memohon maaf dan memberi maaf sebenarnya memberi impak yang besar dalam kehidupan bermasyarakat jika ianya dihayati sepenuhnya.


Sebenarnya maaf itu amat mahal harganya dan ianya perlu dijaga dan dinikmati ibarat sebutir permata. Jika maaf itu kerap dilafazkan terhadap orang yang sama atas kesalahan yang sama maka ianya tidak melambangkan nilai maaf itu sendiri. Ada segolongan orang yang sering membuat kesalahan yang sama kemudian apabila ada kepentingan tertentu yang memberi pulangan kepadanya dengan segera dia memohon maaf atas kesalahannya tetapi tak lama kemudian dia akan mengulangi kesalahan yang sama.


Tidak dinafikan keadaan ini akan membuatkan seseorang itu kecewa dan tertekan apatah lagi orang yang berperangai sebegitu adalah orang yang rapat dan orang yang kita sayangi. Keadaan ini juga sering membuatkan seseorang itu mencari jalan untuk cuba menyedarkan mereka tentang kesilapan dan perangai mereka. Namun apa yang terjadi semakin banyak jalan penyelesaian yang difikirkan semakin terbeban seseorang itu dengan sikap mereka. Ianya berkait rapat dengan teori fikiran yang menyatakan bahawa kita adalah apa yang kita fikir.

Perlu diingat setiap apa yang kita lakukan kerana Allah swt adalah satu ibadah dan setiap kebaikan yang dilakukan akan mendapat ganjaran sepuluh kebajikan. Kebajikan ini adalah getaran tenaga murni yang membantu kita dalam banyak hal untuk mengharungi kehidupan di dunia ini. Semakin banyak kebaikan yang kita lakukan kerana Allah swt maka makin banyak kebajikan yang kita perolehi. Kebajikan yang terkumpul ini akan menjadi ubat terhadap pelbagai masalah yang kita hadapi.


Memang benar agak payah untuk memaafkan seseorang yang melakukan sesuatu yang menyakitkan kita. Tetapi ianya perlu dilatih dan dijadikan habit untuk memaafkan seseorang. Perlu juga diingat tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Namun apabila kita melakukan sesuatu itu kerana Allah swt, insya Allah kita akan berjaya. Oleh itu berilah kemaafan kerana Allah swt.


Imam Al-Ghazali memberi tiga panduan bagi memadamkan api kemarahan dan melahirkan sifat pemaaf.


Apabila marah hendaklah mengucap “A’uzubillahiminassyaitanirrajim” (aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam).


Apabila marah itu muncul ketika berdiri, maka hendaklah segera duduk, jika duduk hendaklah segera berbaring.


Orang yang sedang marah, sunat baginya mengambil wuduk dengan air yang dingin. Hal ini kerana kemarahan itu berpunca daripada api, manakala api itu tidak boleh dipadamkan melainkan dengan air.

Setiap apa yang kita lakukan tertakluk kepada hukum karma, janganlah difikir bagaimana untuk menyedarkan seseorang hanya untuk meluahkan kemarahan yang terpendam, ianya tidak akan berjaya. Sesungguhnya balasan dan pengajaran dari Allah swt amat setimpal kerana Allah itu Maha Adil. Belajarlah memberi kemaafan sebelum diminta serta berilah kemaafan yang mahal harganya yakni kemaafan dengan hati yang ikhlas dan mengharapakan rahmat Allah semata. Insya Allah kemaafan yang anda beri itu akan menjadi ubat kepada kekeruhan yang ada dan berterima kasihlah kepada Allah swt atas setiap apa yang anda perolehi kerana tanpa izinnya tiada satupun akan terjadi.

MOHONLAH KEMAAFAN dari orang yang kita telah sakiti.

MOHONLAH KEMAAFAN dengan hati yang jujur dan ikhlas.

MOHONLAH KEMAAFAN agar diri kita tidak disalah anggap.

MOHONLAH KEMAAFAN untuk kebahagiaan kita sendiri dunia dan akhirat.

MOHONLAH KEMAAFAN kerana kita akan lebih disayangi.

MOHONLAH KEMAAFAN agar ukhuwah kita diredhai.

MOHONLAH KEMAAFAN kerana iman kita akan meningkat.

MOHONLAH KEMAAFAN untuk hidup yang lebih bererti.

DAN...

BERILAH KEMAAFAN kerana ia sebaik-baik perbuatan.

BERILAH KEMAAFAN yang sejujurnya untuk hidup yang lebih ceria.

BERILAH KEMAAFAN kerana Allah memaafkan hamba-hambaNya, siapalah kita?

BERILAH KEMAAFAN semoga kita dan dia bahagia dunia akhirat.

2 comments:

Salam 1 Malaysia...
Komen diberi tanda mengomen,
Jadi Selamat Berkomen...
JE T'AIME... (✿◠‿◠)

Jom Baca

Copyright© All Rights Reserved Cherita Kasih Fizairi Edited by Caersasuke